Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Penganjur sebuah persidangan mengumpulkan beberapa pendakwah Arab Saudi dan ulama serantau menepis satu senarai pada 2014 yang menamakan salah seorang penceramah dalam kalangan lebih 130 individu yang dituduh menaja kumpulan pengganas.
Pemeriksaan oleh FMT ke atas senarai penceramah di persidangan “Khayr Ummah” yang dianjurkan dengan kerjasama unit Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Jabatan Hal Ehwal Jasa (Jasa), mendapati Syaikh Rashid Al-Zahrani dari Arab Saudi salah seorang daripada 131 individu yang menyediakan sokongan kewangan dan undang-undang untuk kumpulan seperti Al-Qaeda.
Rashid membentangkan kertas kerja di hari kedua dan hari terakhir persidangan hari ini, di mana beliau memuji 2 mufti Arab Saudi beraliran keras, Muhammad Ibrahim dan Abdul Aziz Baaz, dalam kalangan sarjana Islam yang merealisasikan konsep wasatiyah, atau kesederhanaan.
Senarai itu, yang diterbitkan pada 2014, turut disiarkan oleh Global Alliance for Terminating Al-Qaeda/ISIS, sebuah badan pemikir yang mendedahkan penyokong kewangan 2 kumpulan itu.
Menurut Gafta, senarai itu memasukkan 131 ahli akademi, aktivis dan agamawan dari 31 negara di serata dunia yang “menyediakan sokongan undang-undang untuk gerakan jihad dan kumpulan bersenjata”.
Namun Pertubuhan Ilmuan Malaysia (Ilmu), sebuah kumpulan penceramah Islam berkaitan kerajaan yang bersama kerajaan Arab Saudi dan beberapa pertubuhan menganjurkan sidang 2 hari itu, menepis senarai tersebut dan berkata Rashid antara sarjana yang mempromosikan kesederhanaan dan mengecam terorisme.
“Secara peribadi saya menafikan perkara itu, sebab beliau individu yang lantang menentang aktiviti keganasan,” kata Pengerusi Ilmu Dr Fadlan Othman kepada FMT apabila ditanya mengenai senarai itu.
Fadlan akui tidak tahu mengenai isu yang dikaitkan kepada Syaikh Rashid itu kerana tiada isu yang timbul tentangnya apabila Fadlan berada di Arab Saudi.
“Apa yang saya pastikan daripada khutbah yang saya dengar beliau sampaikan di sana, rata-rata mengkritik aktiviti keganasan, beliau juga mengkritik golongan fanatik agama dan sabagainya.”
Fadlan berkata senarai itu mungkin sudah melakukan kesilapan apabila memasukkan Rashid.
“Saya rasa mungkin berlaku kesilapan, sama ada mungkin nama beliau hanya dipetik lalu dijadikan satu isu, atau mungkin pelanduk 2 serupa dalam nama,” katanya, dan menambah Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi teliti dan sensitif dengan aktiviti kumpulan pengganas.
Semalam, beberapa penceramah di persidangan itu membidas Syiah sebagai bertanggungjawab untuk ekstremisme, malah salah seorang penceramah turut melabel aliran Islam kedua terbesar itu lebih berbahaya daripada kumpulan militan IS.
Mereka antara lebih 20 penceramah yang kebanyakannya dari Malaysia dan Arab Saudi, serta dari negara Asean, di mana kebanyakannya bercakap mengenai tema memperkasa aliran Sunah Wal Jamaah sebagai faktor penyatu orang Islam di rantau ini.
Arab Saudi mengetuai pakatan Arab menentang terorisme tajaan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump. Tetapi negara itu sendiri pernah dipersalahkan atas kebangkitan ekstremisme, termasuk memberi ilham kepada kumpulan militan seperti IS dan Al-Qaeda melalui ideologi Wahhabi, yang mengikut tafsiran Islam yang ketat.
27 November 2017 - 15:28
News ID: 869438
Penganjur sebuah persidangan mengumpulkan beberapa pendakwah Arab Saudi dan ulama serantau menepis satu senarai pada 2014 yang menamakan salah seorang penceramah dalam kalangan lebih 130 individu yang dituduh menaja kumpulan pengganas.